KEMPEN BOIKOT ZIONIS


| View Show | Create Your Own

Friday, February 16, 2007,4:47 PM
Tasawuf Dalam Mengislah Massa
Bayangkan 10 tahun akan datang, apakah nasib manusia yang semakin diselimuti trajedi kemanusiaan yang paling dahsyat iaitu keruntuhan sosial masyarakat. Kes rogol, pecah amanah, ragut dan penganutan budaya hiburan oleh anak muda secara melampau antara drama tragik yang semakin menjadi-jadi. Pembangunan yang diingini telah membawa bunga-bunga gejala sosial yang mematikan roh insani. Oleh sebab itu, pembangunan fizikal harus diseimbangi dengan pembangunan insani agar kita memperolehi pembangunan fizikal tetapi mengekali akal-budi masyarakat Timur dan Islam yang hakiki dan asali. Persoalan yang timbul, bagaimana kita boleh menggapai keseimbangan pembangunan fizikal dan insani yang kita ingini?

Kelakuan manusia adalah cerminan hatinya. Kita boleh mengetahui jenis air di dalam teko setelah kita menuangkannya. Bagi mengatasi permasalahan sosial, kita seharusnya mendidik jiwa seseorang agar tunduk kepada Tuhan melalui nilai-nilai murni terutamanya penghayatan ilmu tasawuf. Pembersihan hati hanya dapat dilakukan dengan suntikan ilmu tasawuf. Definisi ilmu tasawuf ialah satu ilmu yang membincangkan dan mempelajari tentang cara-cara seseorang untuk memdekatkan dan menghampirkan diri kepada Allah dengan menekan perkara berkaitan dengan akhlak terpuji, beramal soleh dengan istiqamah, mendidik hati dan menundukkan nafsu sehingga tujuan hidup yang sebenar yakni memperolehi keredhaan Allah dalam seluruh aspek kehidupannya.

Hubungan baik dalam urusan agama dengan urusan keduniaan perlu diketemukan bagi melahirkan generasi yang sihat akhlaknya. Kebanyakan ahli masyarakat kita tidak memahami tasawuf sehingga menganggap amalan bersufi ini sebagai bidaah, antipembangunan dan ajaran sesat. Anggapan ini boleh dijernihkan jika masyarakat memahami dengan lumat ajaran tasawuf. Menurut Abbas al Akkad, kaum sufi ialah kumpulan benar-benar mencintai Allah selepas membersihkan diri dan hidup dalam masyarakat yang berhubungan serta tidak jemu-jemu berbakti kepada agama. Bukanlah ahli sufi jika hanya bertakwa dan memutuskan hubungan dengan ahli masyarakat. Ahli tasawuf tetap mengauli masyarakat dengan uzlah hati dimana pengaulan dengan masyarakat awam hanya berbentuk zahir sahaja tetapi hati mereka terus mengingati Allah.

Menurut Syed Naquib al Attas, ketidakfahaman masyarakat terhadap tasawuf kerana kuman kemunduran terkandung dalam akal-pengertian yang jahil, menyalah-fahami serta menyalah-kenakan dan menyalah-amalkannya sehingga membawa kepada pelbagai penyelewengan dan kekeliruan. Kekarutan akal-pengertian dan amalan si jahil menyebabkan berlakunya ajaran sesat dalam tasawuf bertareqat. Pembawaan syeikh tareqat banyak menyeleweng dan tidak menepati disiplin kerohanian. Tasawuf tidak semestinya bertareqat, bukannya pada zikir, suluk, mujahadah, salasilah dan ibadah yang banyak tetapi kefahaman terhadap hakikat tasawuf sangat penting. Hakikat tasawuf ialah hidupnya jarum hati memandang hakikat ketuhanan dalam setiap masa. Pandanglah segalanya daripada Allah, dengan Allah dan kepada Allah, berpegang teguh dengan syariat dan hakikat serta memelihara diri daripada yang haram, syubhat dan makruh.

Tasawuf tidak membawa masyarakat ke arah kemunduran seperti momokkan pihak orientalis dan ulama modenis bahkan tasawuf boleh membangun masyarakat yang maju dalam bidang ilmu dan teknologi tetapi mengekali akhlak mulia-bestari mereka. Sayyed Hossein Nasr menyatakan sufisme tidak pernah menidurkan jiwa umat Islam. Mereka yang mengamalkan sufi tidak sahaja tunduk kepada Allah tetapi mestilah bersedia untuk bekerja dengan mentauladani sunnah para rasul. Kehidupan para rasul meliputi dalam pemerintahan, perniagaan, pertukangan dan pertanian. Tasawuf memainkan peranan penting bagi menggerakkan jiwa untuk bekerja memenuhi tuntutan pengisian sesebuah tamadun.
Tamadun selalu sahaja difahami daripada kacamata Barat yang lebih menumpukan kepada pembangunan kebendaan berasaskan sains, teknologi dan ekonomi. Islam pula melihat ketamadunan berasaskan pembangunan insani yang berakal-budi akidah Islam. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW berjaya melahirkan masyarakat Quranik di Madinah dengan tahap ketamadunan insani paling mantap berbanding ketinggian tamadun ciptaan Firaun yang maju dalam aspek kebendaan tetapi ‘tohor’ dalam akal-budi berasaskan akidah dan buruk akhlak. Maka lahirlah penyalahgunaan elemen-elemen ketamadunan. Teknologi yang dihasilkan oleh manusia tidak mempunyai jiwa agama yang mantap akan menyebabkan teknologi yang disangka baik akan disalahgunakan. Contoh, penggunaan internet sebagai jaringan untuk mencari ilmu pengetahuan dan komunikasi telah disalahgunakan dengan pembiakan amalan pornografi.

Menurut Seyyed Hossein Nasr, tasawuf ialah sains jiwa menjadi punca terciptanya revolusi sains dan teknologi. Sains jiwa adalah hasil latihan-latihan jiwa untuk meningkatkan nilai akhlak supaya dapat melahirkan tenaga daya kreatif yang tinggi. Sains jiwa akan mencipta sains material. Oleh sebab itu, sains jiwa perlu dicapai terlebih dahulu sebelum penciptaan sesuatu objek berbentuk material. Jika tidak, sains dan teknologi akan membawa kemusnahan kepada dunia. Keseimbangan sains jiwa dengan sains material amat penting bagi menyelaras proses ketamadunan. Tasawuflah yang mengajar agar kedua-duanya harus berjalan sejajar untuk menjadi tamadun yang dipenuhi nilai kemanusiaan.

Ketiadaan hakikat tasawuf dalam kehidupan moden menyebabkan manusia tertarik dengan graviti nafsu. Kejadian rasuah dan pecah amanah menunjukkan kepada kita perlunya hati kita dididik dengan amalan tasawuf. Rasuah dan pecah amanah bukan hanya dilakukan oleh golongan bawahan tetapi paling malang dilakukan oleh golongan terpelajar. Walaupun mereka berakal dan memahami tentang kemungkaran tetapi mereka tidak dikawal oleh kejernihan hati-nurani sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk. Jika kita mengamalkan ajaran tasawuf, kebarangkalian untuk melakukan rasuah dan pecah amanah adalah tiada kerana jarum hati kita selalu mengingatkan kita berada di bawah pemerhatian Allah yang Maha Melihat dan kepercayaan pembalasan syurga dan neraka sudah cukup menjadi wadah kawalan jiwa daripada melakukan kemungkaran.

Secara umumnya, masyarakat muslim menganggap ahli sufi sangat dangkal dan pasif terhadap politik. Kebanyakan ahli sufi tidak mencampuri amalan politik kepartaian dan perebutan kuasa bukan bererti mereka antipolitik dan antipemerintahan. Tasawuf bukannya pengamalan budaya Gautama Buddha yang hidup bermeditasi dan bertapa untuk melarikan diri daripada perihal keduniaan. Dale F. Eickelman dalam Muslim Politic menyatakan jaringan sufi sebagai gerakan politik yang penting pada zaman kolonialisme. Di kawasan pengaruh tasawuf yang kuat seperti di Tenggara Eropah, Afrika Utara dan Asia Tengah, kepimpinan politik tasawuf cukup berpengaruh. Di Sudan, tareqat Mahdiyyah telah bangkit menentang penjajah dan membentuk kekuatan politik dalam pemerintahan Sudan. Di Terengganu, Tokku Paloh telah mendidik jiwa tasawuf Sultan Zainal Abidin III telah bersama baginda menentang penjajah British dan memerintah Terengganu. Inilah adalah contoh kemampuan tasawuf memotori kuasa pemerintahan negara.

Kesenian dan kesusasteraan juga pernah menerima suntikan tasawuf. Tasawuf tidak menghalangi kegiatan kesenian dan sastera. Dunia Islam sendiri telah melahirkan ahli tasawuf yang berjiwa seni dan sastera seperti Hamzah Fansuri, Jamaluddin al rumi dan Muhammad Iqbal. Hamzah Fansuri sebagai contoh telah memajukan puisi kesufian dan falsafah Islam berasaskan faham wujudiah. Kesenian dan sastera hasil suntikan tasawuf mengarahkan jiwa menghayati keindahan ciptaan Allah dan mengikat-kuatkan lagi akidah umat Islam sama ada di kalangan sasterawan, seniman atau audien yang menghayatinya. Nasyid sebagai contoh adalah wasilah paling mudah menarik anak muda agar kembali menghayati ajaran Allah dan menjentik jiwa pendengar agar menginsafi diri seperti yang pernah digemilangkan oleh kumpulan The Zikr dan Nada Murni.

Tasawuf adalah jatidiri manusia muslim untuk mendepani cabaran dunia yang dipenuhi dengan fahaman keduniaan yang mengarahkan kepada kehancuran kerohanian ummat Islam. John R. Mott, mengakui mukmin yang kuat ialah mereka yang memiliki sifat-sifat tasawuf, kebal dan tidak dapat ditembusi oleh sebarang kekufuran. Mereka yang mengamal tasawuf sukar digugat keimanan mereka. Pengamalan ilmu tasawuf boleh dirujuk melalui kitab seperti Minhajul Abidin, Matan al Hikam dan Ihya’ ‘Ulumiddin dengan kaedah pengajian kitab. Kaedah pengajian kitab melalui guru musyid dan mengamal wirid selepas solat sudah memadai daripada mengikuti tareqat yang banyak diseleweng oleh ulama berhati duniawi.

Mutiara tasawuf perlu dicari dengan menggunakan akal. Menurut Hamka, barang siapa yang memilih hidup bersufi, mestilah menggunakan akal. Tanpa akal tidak ada sufi. Pengunaan akal adalah satu tanda berusaha untuk hidup. Ahli sufi yang berakal dapat menghadapi dugaan dalam bermasyarakat dan bersabar lebih baik daripada muslim yang mengurungi diri untuk menggelak diri daripada bergaul dengan masyarakat. Oleh sebab itu, muslim yang bersufi dan mendepani permasalahan masyarakat adalah muslim superman yang dapat menyesuaikan dirinya untuk dunia dan akhirat dengan memiliki sahsiah yang mulia-bestari.

Kemampuan tasawuf dalam masyarakat moden tidak boleh dipersoalkan lagi. Tasawuf telah membuktikan kebolehannya serasi dalam kehidupan moden. Pengamalan tasawuf dengan kefahaman sahih akan dapat mengislah masyarakat ke arah lebih maju dalam pembangunan material dan insani. Ketamadunan yang terhasil bukan sahaja berwawasan di dunia sahaja tetapi meliputi wawasan akhirat yang tidak mampu difikirkan oleh imiginasi minda manusia. Tanpa tasawuf, manusia muslim hanya rangka yang bergerak tanpa roh. Kalau manusia dianggap sebagai buah-buahan, bagai ‘kulit tanpa isi’. Apa gunanya buah berkulit tanpa isi. Fikir-fikirkanlah.
 
posted by Abdul Hakim Mat
Permalink ¤